Anak Batu Rakit Dilantik Badan Takraw Asia

Dr Mohammad Omar yang juga merupakan mantan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) bagi penggal 2021 hingga 2023.

Setelah 15 tahun menyepi dari arena sepak takraw kebangsaan, terkini bekas Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia(PSM) Dr Mohammad Omar menerima lantikan daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia(ASTAF) selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021 hingga 2023. Walaupun situasi perkembangan terkini yang belum berkesudahan di antara PSM dan ASTAF, namun kepercayaan badan induk di peringkat Asia yang masih memberi ruang dan peluang bagi kepakaran tempatan menjadi tiket penting bagi perubahan sukan sepak takraw tanah air.

Anak jati Terengganu yang kini berusia 63 tahun berpengalaman besar dalam sejarah pembangunan dan teknikal sukan sepak takraw di pentas antarabangsa juga merupakan tulang belakang sewaktu Program Gemilang 2001 yang menjadi penanda aras persiapan pasukan sewaktu Kuala Lumpur menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan SEA 2001. Begitu juga program pembangunan di negeri sendiri, melalui penubuhan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu sejak 1999 sehingga kini banyak melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk diketengahkan oleh Persatuan Sepaktakraw Negeri Terenganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA).

Dr Mohammad Omar juga pernah menjawat Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia(PSM) bermula bagi penggal 2002 pernah membuat kejutan untuk meletakkan jawatan dalam badan induk tersebut pada 2005 sejurus pasukan kebangsaan meraih emas di Sukan SEA Manila 2005. Sepanjang berada dalam pucuk pimpinan badan induk kebangsaan, mantan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu ini juga turut cemerlang menjadi penasihat teknikal pertandingan di beberapa kejohanan antarabangsa.

Dr Mohammad Omar merupakan tulang belakang penubuhan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu yang ditubuhkan pada 1999.

“Saya telah dihubungi oleh Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader untuk menerajui jawatankuasa badan induk Asia itu. Awalnya beliau menawarkan jawatankuasa etika dan disiplin tapi saya lebih selesa bekerja dalam jawatankuasa pembangunan. Lagipun saya sememangnya banyak terlibat dalam program pembangunan sepak takraw di negeri Terengganu mahupun dalam negara. Bersama ASTAF kini saya perlu mempromosikan sukan sepak takraw ke beberapa negara yang belum wujudnya sukan ini mahupun persatuan itu sendiri.”, ujar Dr Mohammad Omar yang telah dilantik selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia.

Kini dengan tugasan baru yang diberikan oleh badan induk sepak takraw Asia, selain memfokuskan program pembangunan di negara-negara Asia beliau juga dalam misi untuk membawa sukan sepak takraw dipertandingkan di pentas temasya Olimpik.

Hala tuju yang menjadi keutamaan buat ASTAF bersama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa‚Äč (ISTAF) selaku badan induk dunia bakal menjadi penanda aras terbaik setelah sukan ini pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia 1990 manakala Sukan SEA sejak 1967. Malah sukan ini juga turut menjadi tumpuan negara-negara Asia Pasifik melalui penganjuran temasya dwi tahunan Arafura Games yang dianjurkan secara tetap di Darwin, Australia.

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

may, 2023

06mayalldayKejuaraan BMX Remaja Sirkit 2

27mayalldayKejohanan Terbuka Lawan Pedang Wilayah Persekutuan

X