

Sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diserikan dengan pendekatan berbeza apabila institusi pengajian ini buat julung kalinya menganjurkan kejohanan ragbi yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar.
Kejohanan yang telah berlangsung sehari di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail di universiti ini berjaya menarik penyertaan sebanyak lapan pasukan jemputan untuk berentap dalam 20 perlawanan keseluruhan yang dipertandingkan.


Penganjuran yang mencipta prestij tersendiri ini diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang turut mendapat sokongan daripada Pusat Sukan & Rekreasi HEPA UMT selaku pemegang taruh utama bagi setiap aktiviti-aktiviti pelajar.
Lebih signifikan, kejohanan ini menjadi penanda aras buat pelajar-pelajar yang sebelum ini hanya terlibat sebagai pemain, namun kini menggalas tanggungjawab sebagai pengelola pertandingan.


Pengarah pertandingan, Nurul Syazwani Norazman berkata, pengalaman tersebut membuka dimensi baharu kepada mahasiswa UMT dalam aspek pengurusan acara sukan.
“Sebelum ini kami hadir sebagai pasukan bertanding sahaja. Kali ini kami diberi peluang menguruskan keseluruhan kejohanan. Walaupun bermula dengan lapan pasukan jemputan, penyertaan pasukan dari Pahang dan Kelantan memberi penanda aras yang baik kepada kami sebagai penganjur,” katanya.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan itu lagi, maklum balas positif yang diterima membuka ruang untuk penganjuran berskala lebih besar pada pertengahan tahun ini.
Dalam masa sama, kejohanan tersebut turut memberi manfaat kepada Stingrays RC, satu-satunya kelab ragbi di UMT, untuk menambah minit permainan kompetitif bagi mengekalkan momentum dan tahap prestasi pasukan.


Sementara itu, Pengurus KPTM Bullets RC, Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly menyifatkan inisiatif UMT sebagai langkah yang wajar diteruskan secara tahunan, khususnya bagi merancakkan lagi kalendar ragbi di Pantai Timur.
“Kami sanggup datang dari Kuantan kerana kekurangan kejohanan di negeri-negeri Pantai Timur. Selama ini kami terpaksa mencari perlawanan di Pantai Barat atau selatan tanah air.
“Walaupun dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar yang tidak pernah terlibat dalam aspek teknikal sebelum ini, penganjuran hari ini berjalan lancar tanpa masalah. Kredit harus diberikan kepada mereka,” katanya.
Beliau yang juga pegawai akademik dan peperiksaan berharap kejohanan akan datang dapat memperkenalkan kategori institusi pengajian tinggi (IPT) serta wanita, memandangkan kebanyakan pasukan yang bertanding mewakili IPT dan mempunyai skuad wanita.


Dalam edisi sulung itu, Tuetowear RC muncul juara selepas menewaskan IPG KB dari Kelantan 30-0 pada perlawanan akhir. Pasukan tuan rumah, Stingrays RC pula menamatkan saingan sebagai naib juara Plate selepas tewas 5-21 kepada Dungun Rugby.

















