TSG Kembali Ke Turki Untuk Kekal Di Puncak Jelajah Asia

Seramai lima pelumba Terengganu Polygon Cycling Team(TSG) bersama tiga pegawai pasukan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) sebelum penerbangan terus ke Turki untuk menyertai 3 perlumbaan bertaraf 1.2 UCI di sana.

Gergasi sukan berbasikal Asia, Terengganu Polygon Cycling Team(TSG) kini kembali menyambung misi kayuhan mereka untuk mempertahankan kejuaraan Asia yang telah dinobatkan pada musim lalu sekaligus memikul cabaran berganda untuk memburu prestij pasukan terbaik antara benua pada musim ini.

5 pelumba TSG yang diketuai oleh Wan Abdul Rahman Hamdan termasuk seorang pelumba muda Zuladri Amin Zulkurnain dari TSG Cycling Academy bersama tiga pegawai pasukan berlepas melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) sebelum penerbangan terus ke Turki untuk membuat persiapan awal sebelum perlumbaan membuka tirai nanti.





Grand Prix Erciyes, Grand Prix Kayseri dan Grand Prix Yahyali yang ke semuanya perlumbaan berstatus 1.2 badan induk berbasikal dunia(UCI) merupakan 3 siri perlumbaan yang menjadi fokus pasukan untuk mengutip mata perlumbaan bagi memperkukuhkan tangga kedudukan musim ini.

Dua perlumbaan secara berturut-turut terpaksa di tempuhi di mana perlumbaan Grand Prix Erciyes menjadi cabaran pertama yang perlu diberi fokus pada 23 Julai ini dan selang sehari sebelum kayuhan memburu podium di perlumbaan Grand Prix Kayseri. Manakala perlumbaan Grand Prix Yahyali dijadualkan pada 31 Julai nanti memberi cukup rehat buat pasukan untuk mengatur kayuhan.

Pengurus pasukan Terengganu Polygon Cycling Team(TSG) Mohd Saiful Anuar Aziz galas tanggungjawab membawa pasukan ke Turki bagi penyertaan Grand Prix Erciyes, Grand Prix Kayseri dan Grand Prix Yahyali. Grand Prix Erciyes menjadi perlumbaan pertama buat TSG yang akan membuka tirai pada 23 Julai 2022 ini.

“Misi untuk kembali ke Turki ini adalah untuk kita dapatkan seberapa banyak mata perlumbaan untuk terus kekal di tangga teratas kedudukan Jelajah Asia ketika ini sekaligus untuk mempertahankan kejuaraan yang telah kita berjaya dinobatkan pada perlumbaan musim lalu.

“Namun ianya bukan satu perlumbaan mudah buat kami memandangkan pasukan Almaty Cycling Team dari Kazakhstan juga kini agresif untuk merapatkan jurang tangga kedudukan semasa.

“InsyAllah bagi perlumbaan di Turki ini kita meletakkan sasaran dua podium bagi 3 perlumbaan yang disertai. InsyAllah kita mampu lakukan berdasarkan analisa rekod-rekod perlumbaan di Turki yang telah kita tempuhi sebelum ini,” ujar pengurus pasukan TSG Mohd Saiful Anuar Aziz yang ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Walaupun menempuh perlumbaan tanpa kelibat pasangan adik beradik Mohd Zamri Saleh dan Mohd Harrif Saleh, Wan Abdul Rahman Hamdan yang mengetuai pasukan ke Turki ini tetap optimis mampu untuk menambah mata perlumbaan buat pasukan.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team(TSG) Wan Abdul Rahman Hamdan di antara tonggak pasukan untuk menambah kutipan mata bagi tiga perlumbaan di Turki nanti.

“Kali ini adalah kali ketiga untuk saya berlumba di Turki. InsyAllah saya akan cuba yang terbaik untuk mengutip mata perlumbaan sebanyak mungkin di sana untuk mempertahankan pasukan untuk terus kekal di kedudukan teratas Jelajah Asia.

“Cabaran berlumba di Turki ini sememangnya amat berlainan berbanding di rantau Asia ini kerana di sana rata-rata pelumba adalah dari negara-negara Eropah. Tidak dinafikan pasukan tuan rumah juga bukan hadir sekadar melengkapkan penganjuran perlumbaan. Oleh itu percaturan yang tepat perlu dilakukan oleh kami untuk menaiki podium sekaligus menambah mata perlumbaan bagi musim ini,” ujar pelumba TSG Wan Abdul Rahman Hamdan.

Terkini, TSG masih mendahului tangga kedudukan teratas Jelajah Asia dengan kutipan 863.75 perlumbaan mendahului Almaty Cycling Team dari Kazakhstan di tangga kedua dengan jurang 305.25 mata. Pasukan Taskent City Profesional Cycling Team dari Uzbekistan pula di tangga ketiga Jelajah Asia. Situasi ini sekaligus meletakkan TSG berada di tangga kedudukan ke-33 terbaik di seluruh dunia setanding dengan pasukan yang berentap di siri jelajah yang lebih ternama.

Selain memberi fokus di pentas kejuaraan Asia, TSG juga akan terus berkampung di Turki bagi menjalani kem latihan beraltitud tinggi yang juga merupakan serampang dua mata buat pasukan untuk memberi fokus dalam persediaan ke pentas Le Tour De Langkawi(LTDL) pada Oktober nanti.

Senarai Nama Pelumba & Pegawai Terengganu Cycling Team(TSG)
*Yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus pada 18 Julai 2022

PELUMBA TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM(TSG)
1WAN ABDUL RAHMAN HAMDAN
2IRWANDIE LAKASEK
3MUHAMAD AFIQ HUZNIE
4MOHD SHAHRUL MAT AMIN
5ZULADRI AMIN
PEGAWAI PASUKAN TERENGGANU POLYGON CYLING TEAM(TSG)
1MOHD SAIFUL ANUAR AZIZ (PENGURUS PASUKAN)
2WAN MOHD NAZRI WAN AHMAD (MEKANIK)
3MOHD NORHISAMMUDDIN HILMI MAMAT (FISIO)
SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X