Untuk perlawanan ke-3 buat pasukan THT ini, gandingan pemain import Korea Selatan berjaya mencipta sensasi perlawanan di laman sendiri setelah 3 jaringan gol disumbangkan oleh Jung Manjae dan 2 jaringan gol pukulan sudut penalti sepenuhnya dari Jang Jonghyun.
Gol pertama buat pasukan tuan rumah hadir pada minit ke-7 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Jang Jonghyun. Peminat yang hadir ke Stadium Hoki Batu Buruk juga tidak dikecewakan dengan persembahan pemain tempatan di mana Faizal Saari turut berjaya meraih 1 gol padang di minit-minit akhir permainan. Untuk rekod sehingga kini, Faizal Saari telah berjaya mengutip 4 jaringan gol(termasuk jaringan shoot out dalam perlawanan pembukaan untuk Piala Sumbangsih 2019) bagi 3 perlawanan yang telah disertai.
Manakala bagi pasukan pelawat, Joel Samuel Van Huizen berjaya mencuri satu gol padang untuk dibawa pulang pada minit ke-9 permainan sedikit sebanyak dapat menembus kehampaan setelah pasukan Nurinsafi/Kedah Hockey turut tewas tanpa sebarang balasan dalam pertemuan sebelum ini menentang pasukan TNB. Sehingga kini pasukan Nurinsafi/Kedah Hockey masih belum meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi 3 perlawanan untuk musim ini.
“Pemain telah menunjukkan satu corak pemainan yang baik hari ini di mana kami mencuba taktikal yang baru dan pemain berjaya untuk menerapkan taktikal tersebut pada aksi hari ini dengan hasil yang telah dicapai.
“Cuma apa yang saya mahukan ialah penambahbaikan dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya kerana ia merupakan satu proses yang akan terus dijalani.
“Berada di kedudukan teratas liga dengan kemenangan hari ini bagi saya ia hanya kedudukan semasa dan saya mahu pemain kekal fokus dengan apa yang kami mahu lakukan kerana apa yang penting adalah kedudukan di penghujung liga nanti,” ujar Ketua Jurulatih; I Vikneswaran kepada pemberita.