Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 Bakal Dibentang Mac 2018

Khairy Jamaluddin pernah memberi pandangannya pada tahun 2015 untuk meminda akta Akta Pembangunan Sukan 1997 ini. Kredit Foto – Utusan/Halim Khalid

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan bahawa pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 bakal dibentang pada Mac 2018 sekiranya sidang Parlimen dijalankan dan tiada Pilihan Raya Umum sebelum itu. Beliau turut mengesahkan bahawa draf pindaan tersebut kini di peringkat akhir untuk pegawai undang-undang Kementerian Belia dan Sukan meneliti sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Namun Khairy menegaskan tidak mampu memberi sebarang jaminan ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini. Hal ini adalah kerana membabitkan semua persatuan sukan dari setiap negeri di mana banyak perkara perlu ditimbangkan sebelum perlaksanaan.

Mengikut Akta Pembangunan Sukan, setiap penganjuran program sukan perlu mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan sekiranya gagal, ia adalah satu kesalahan di mana penganjur boleh dikenakan hukuman maksimum RM5,000, hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.

Bangunan Parlimen Malaysia yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur merupakan lokasi dimana semua Ahli Parlimen Malaysia berhimpun. Kredit Foto – Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Selain itu, mengikut Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 pula, sebarang penganjuran sukan perlu mendapat kelulusan PJS, di samping keperluan penganjur mendapatkan kebenaran badan pengelola sukan terbabit termasuk polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Cadangan pindaan seksyen berkenaan turut mencadangkan pihak penganjur boleh dikenakan denda maksimum RM500, 000 serta memanjangkan hukuman penjara.

Untuk rekod, Khairy Jamaluddin telah memberi pandangannya pada tahun 2015 untuk meminda akta ini bagi memberi lebih kuasa kepada sesetengah agensi di bawahnya seperti Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesebuah persatuan sukan kebangsaan.

Kejohanan Sukan Elektronik Kebangsaan Bakal Dianjurkan

Pada 12 Disember 2017, Majlis Sukan Negara (MSN) mengiktirafkan sukan elektronik dan satu unit khas akan ditubuhkan diletakkan di bawah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara. Foto Kredit – Facebook.com/apuesportsclub

Rentetan pengumuman oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin tentang pengiktirafan sukan elektronik oleh Majlis Sukan Negara (MSN), satu kejohanan peringkat kebangsaan bakal dianjurkan nanti. Kejohanan tersebut dijangkakan bakal berlansung semperna penganjuran temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 di Perak nanti.

Status penganjuran ini telah diumumkan melalui satu kenyataan media yang diterbitkan oleh pihak MSN bertarikh 12 Disember 2017. Selain dari penganjuran sukan elektronik ini, sukan mendaki dan papan selaju turut akan diadakan. Penganjuran sukan ini adalah langkah awal untuk pihak MSN mengenal pasti potensi prospek dalam persedian membentuk pasukan kebangsaan ke peringkat lebih tinggi lagi. Malah Malaysia kini mula mengintai peluang untuk menghantar kontijen sukan elektronik ini ke Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024 nanti.

Walaubagaimanapun sehingga kini difahamkan sukan ini adalah berstatus sukan demonstrasi di temasya SUKMA 2018 nanti dan tiada sebarang kiraan pungutan pingat kepada setiap kontijen SUKMA 2018 yang bertanding.

MSN Iktiraf Sukan Elektronik

Sebagai persediaan membentuk pasukan kebangsaan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024. Kredit Foto – Nerdgoblin.com

Majlis Sukan Negara (MSN) kini mengorak langkah dengan mengiktirafkan sukan elektronik sebagai salah satu sukan yang harus diberikan perhatian. Pada 12 Disember lalu, Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin mengumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan satu unit khas bagi memberi tumpuan kepada sukan elektronik di negara ini. Unit Khas ini akan diletakkan di bawah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara.

Menurut Khairy, pihak MSN yang diketuai oleh Dato’ Ahmad Shapawi Ismail selaku ketua pengarah akan ditugaskan untuk mencari pegawai-pegawai yang pakar untuk berinteraksi komuniti sukan ini sekali gus memperkasakan unit khas ini. Sukan ini merupakan satu bentuk sukan baru yang harus diberi perhatian setelah mendapat pengiktirafan Majlis Olimpik Asia (OCA). Keputusan ini secara tidak lansung memberi gambaran persediaan membentuk pasukan kebangsaan untuk berlatih menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024.

“Ini adalah realiti. Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggalan. Saya difahamkan kita ada atlet E-Sukan yang bertaraf dunia jadi mungkin kita boleh libatkan mereka di dalam unit itu”, ujar Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin.

Pengiktirafan sukan baru ini sudah pasti MSN akan memberikan peruntukan serta bantuan secukupnya untuk pembangunan sukan ini di negeri-negeri di dalam Malaysia ini untuk persediaan Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024. Sukan ini juga dikhabarkan turut bakal menjadi sukan demonstrasi Sukan Asia Ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada tahun ini.

X