SUKMA 2024: Latihan Intensif Buka Tirai Musim Baru Kem Berbasikal Lebuh Raya Terengganu

Skuad berbasikal lebuh raya Terengganu membuka kalendar program latihan bagi tahun 2024 dengan menjalani penilaian kecergasan oleh pegawai Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu di Makmal Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu pada 9 Januari 2024.

Skuad berbasikal lebuh raya Terengganu yang kini dalam persiapan ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) pada Ogos nanti membuka kalendar latihan musim baru bagi tahun ini dengan perancangan program latihan yang lebih intensif dan berimpak tinggi berbanding musim lalu.

Beberapa pendekatan baharu dalam program latihan telah ditambah baik termasuk memanfaatkan sepenuhnya elemen sains sukan sama ada dari segi penggunaan teknologi mahupun aspek pemakanan berbanding kaedah konvesional yang menekankan aspek kudrat mahupun kekuatan sepenuhnya seseorang atlet itu sendiri.





Pembantu jurulatih berbasikal lebuh raya Terengganu Rashidee Adam Zafary(dua dari kiri) memantau prestasi semasa pelumba Muhammad Afiq Iskandar Hasyim(kiri) dan Mohamad ‘Afi Danial Ramli(kanan) sewaktu menjalani latihan di di Makmal Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu pada 9 Januari 2024.
Dari kiri – Ketua jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Husaini Syed Mazlan, jurulatih berbasikal Terengganu Anuar Manan, pelumba Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Fisiologi Senam) Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu Amirul Haqim Mohamad Zali dan pelumba Mohd Aiman Haikal Khairul sewaktu menjalani latihan di di Makmal Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu pada 9 Januari 2024.
Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Fisiologi Senam) Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu Amirul Haqim Mohamad Zali(kiri) sewaktu penilaian pelumba Mohamad ‘Afi Danial Ramli ketika menjalani latihan di di Makmal Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu pada 9 Januari 2024.

Walaupun tempoh masa masih panjang untuk berbaki kurang dari 8 bulan sebelum SUKMA Sarawak 2024 membuka tirai, kem berbasikal lebuh raya Terengganu ini turut dahagakan pendedahan melalui penyertaan-penyertaan perlumbaan berprestij sama ada di dalam mahupun luar negara untuk menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan pasukan.

Menurut jurulatih berbasikal lebuh raya Terengganu yang juga bekas pelumba profilik negara, Anuar Manan memberi gambaran bahawa pasukannya akan menjalani program latihan beraltitud tinggi di luar negara sebelum tirai perlumbaan SUKMA 2024 bermula nanti.

Jurulatih berbasikal Terengganu Anuar Manan(kiri) sewaktu memantau prestasi pelumba Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi sewaktu menjalani penilaian kecergasan oleh pegawai Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu di Makmal Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu pada 9 Januari 2024.

“Kualiti penganjuran perlumbaan di pentas SUKMA masa ini khususnya saingan pasukan lawan daripada beberapa negeri  dilihat kian meningkat berbanding dahulu di mana saya juga turut pernah berlumba ketika itu. Kita boleh lihat rata-rata kelajuan masing-masing sewaktu berlumba pun kayuhan mereka semakin laju sehingga boleh mencecah kelajuan pelumba-pelumba yang lebih profesional.

“Oleh itu kami bersama barisan kejurulatihan membuat perancangan yang lebih intensif berbanding musim lalu iaitu pada tahun lepas. Sudah tentu kami akan memanfaatkan segala elemen-elemen yang menjadi tambah nilai seperti sains sukan bagi sepanjang program latihan berlangsung sebelum SUKMA Sarawak 2024 nanti.

“Sebelum SUKMA Sarawak 2024 ini juga kami merancang untuk menyertai lebih banyak perlumbaan-perlumbaan yang berprestij sama ada di dalam negara mahupun luar negara agar pelumba-pelumba kami mendapat pendedahan yang lebih kompetitif dan berprestasi tinggi. Namun semua ini tetap bergantung pada status kewangan bagi perbelanjaan pasukan daripada pemegang taruh di mana pada tahun 2024 ini kami menjangkakan tahun yang sukar buat semua pasukan yang kini dalam persediaan ke Sarawak nanti.” ujar Anuar Manan yang kini memasuki tahun ketiga dilantik sebagai jurulatih oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak ini juga menjadi pentas penampilan terakhir buat kuartet pelumba muda Terengganu kini bertekad untuk kembali membuat kejutan sekaligus memperbaiki rekod pencapaian di pentas penganjuran sukan terbesar dalam negara ini.

Dari kiri – Mohamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul, Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, Mohamad ‘Afi Danial Ramli dan Muhammad Afiq Iskandar Hasyim merupakan di antara barisan pelumba basikal Terengganu yang akan membuat penampilan terakhir di pentas Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) di Sarawak Ogos nanti.

“Penganjuran SUKMA di Sarawak pada tahun ini adalah penampilan terakhir dalam acara berbasikal lebuh raya buat kami berempat jadi sudah pasti kami ingin memperbaiki rekod pencapaian pada SUKMA dua tahun lepas.

“Sasaran peribadi kami sudah tentu pingat emas di Sarawak nanti yang sekian lama kami telah idamkan. Namun banyak perkara yang perlu kami lakukan dan korbankan untuk kejayaan itu. Sudah tentu saingan dari pelumba-pelumba negeri lain kita boleh lihat mereka juga bekerja keras untuk merebut pingat.

“Kami amat mengharapkan sebelum SUKMA nanti kami dapat menyertai mana-mana perlumbaan yang berprestasi tinggi khususnya bersaing dengan pelumba-pelumba dari luar negara. Tidak bermaksud kualiti perlumbaan di dalam negara ini tidak mencabar cuma kami memerlukan cabaran dan saingan taktikal yang lebih tinggi.

“Berdasarkan pengalaman berlumba di luar negara sebelum ini, bentuk muka bumi dan ketinggian altitud di luar negara yang berbeza berbanding di sini memberi prestasi yang ketara buat kami apabila pulang untuk berlatih mahupun berlumba di dalam negara.” berkata Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi yang akan membuat penampilan terakhir di SUKMA Sarawak 2024 nanti.

Ketua jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Husaini Syed Mazlan(kiri) bersama Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Fisiologi Senam) Bahagian Teknologi Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu Amirul Haqim Mohamad Zali(kanan) sewaktu penilaian pelumba menjalani latihan di di Makmal Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu pada 9 Januari 2024.

Untuk rekod, pada penganjuran SUKMA 2022 di ibu negara, kem berbasikal lebuh raya Terengganu berjaya memungut  6 pingat emas, 6 pingat perak dan 3 pingat gangsa sekaligus menghimpunkan keseluruhan pingat sebanyak 64 pingat emas, 49 pingat perak dan 55 pingat gangsa buat kontijen dari pantai timur ini untuk berada di belakang kontijen Johor selaku juara keseluruhan SUKMA 2022 ketika itu.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X