NRDP JADI PEMANGKIN KEBANGKITAN PEMBANGUNAN RAGBI SEKOLAH DI TERENGGANU

50 perlawanan keseluruhan menjadi taruhan kejuaraan NRDP-MSST Terengganu Rugby 7s 2026 bermula pada 10 – 11 Julai 2026 bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

KUALA NERUS – Kejuaraan NRDP-MSST Terengganu Rugby 7s 2026 terus membuktikan perkembangan positif sukan ragbi di peringkat akar umbi apabila merekodkan penyertaan terbesar sejak diperkenalkan dengan penglibatan seramai 240 pemain mewakili 20 pasukan sekolah dari tujuh daerah di Terengganu.

Berlangsung selama dua hari di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu bermula Jumaat lalu itu turut menyaksikan kemunculan beberapa pasukan baharu yang pertama kali mengambil bahagian sekali gus mencerminkan peningkatan minat sekolah-sekolah di negeri ini terhadap pembangunan sukan ragbi.





Lebih menarik, kejuaraan yang mempertandingkan kategori terbuka lelaki dan wanita itu menjadi platform penting untuk mengukur keberkesanan program pembangunan ragbi yang telah mula digerakkan di sekolah masing-masing, khususnya di kawasan luar bandar.

Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Terengganu(PTPS MSST), Aminudin Sulong

Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Terengganu (PTPS MSST), Aminudin Sulong berkata, format penganjuran kali ini lebih inklusif dan komprehensif kerana membuka peluang kepada semua sekolah untuk menyertai kejohanan tanpa mengira zon atau latar belakang pasukan.

Menurutnya, pendekatan tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada lebih ramai bakat muda untuk merasai pengalaman beraksi di pentas kompetitif selain menjadi medan pendedahan kepada pasukan yang masih berada di peringkat awal pembangunan.

“Jika sebelum ini penyertaan lebih tertumpu kepada sekolah-sekolah tertentu mengikut zon, kali ini kami membuka peluang kepada semua pasukan sekolah untuk turut serta. Ini memberi ruang kepada pemain-pemain muda, termasuk dari kawasan luar bandar, untuk menonjolkan potensi masing-masing.

“Terdapat juga pasukan yang pertama kali menyertai kejohanan ini dan mereka tidak meletakkan sasaran tinggi. Fokus utama mereka adalah untuk mendapatkan minit permainan yang kompetitif dan menimba pengalaman dalam suasana pertandingan sebenar,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama antara pihaknya dan Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) yang diselaraskan bersama badan induk sukan ragbi negara, Malaysia Rugby, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan sukan tersebut di Terengganu dan negeri-negeri Pantai Timur.

X