Aksi perlawanan kedua memburu kejuaraan Liga Hoki Malaysia bagi Terengganu Hockey Team (THT) selaku pendahulu liga untuk bertemu juara Piala Sumbangsih 2021, UniKL bakal menjadi cabaran sebenar buat gergasi hoki pantai timur nanti. Terdahulu dalam perlawanan pembukaan menjadi aksi pemanas badan THT setelah membelasah 11-00 pendatang baharu dari Sabah yang hadir membariskan sebahagian besar pemain program pembangunan.
UniKL yang meletakkan misi untuk menyapu ketiga-tiga piala musim ini baru menyelesai misi pertama mereka untuk kembali merangkul Piala Sumbangsih buat musim kedua setelah menewaskan TNB berkeputusan 4-3 menerusi penentuan penalti shootout setelah terikat 0-0 sepanjang 60 minit permainan.
Menurut ketua jurulatih THT, K Rajan melihat perlawanan kedua ini merupakan perlawanan yang amat penting buat setiap pasukan dalam membuat percaturan sepanjang musim untuk mendahului kedudukan tangga liga. Walaupun kini THT di puncak liga namun kutipan mata hasil dari perlawanan pertama itu mampu dipintas oleh lain-lain pasukan yang mempunyai bekalan mata sekiranya THT gagal menambah mata dalam aksi kedua perlawanan nanti.
“Ketika menentang Sabah, kita dapat 11 pukulan sudut penalti (PC), hanya dua gol berjaya dijaringkan. Jika menentang UniKL. Kita tidak akan dapat banyak PC tetapi apa yang kita dapat, kita perlu jaringkanlah.
“Bagi saya, peluang dengan UniKL adalah 50 – 50, mereka ada peluang untuk menang, kita juga ada peluang yang sama untuk menang . Siapa yang dapat manfaatkan peluang untuk jaringkan gol, akan menang,’ujar K Rajan.
K Rajan juga turut mengulas bahawa tempoh rehat selama dua hari setelah beraksi menentang Sabah pada 11 Mac lepas bukan suatu kelebihan buat pasukan. Sebaliknya menjadi kekurangan buat pasukan kerana tidak dapat mengutip pengalaman perlawanan sebelum bertemu UniKL yang menjadi perlawanan penting.
UniKL hadir dengan reputasi sebagai penyandang juara liga dan juara Piala TNB musim lalu serta terkini menewaskan TNB dalam saingan piala Sumbangsih sudah pasti tidak akan menjanjikan satu perlawanan mudah buat THT untuk mengutip mata kedudukan liga. Pada musim lalu, UniKL juga turut telah merampas Piala Sumbangsih dari THT yang berkeputusan 3-2.
Manakala Mohd Fitri Saari yang masih memikul tanggungjawab selaku kapten musim ini turut mengesa agar THT mampu untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan mudah seperti mana berlaku sewaktu menentang Sabah terdahulu. Kesilapan tersebut bakal menghukum pasukan untuk memberi tekanan kepada UniKL nanti.