185 Peserta 11 Negara Sertai Kejurulatihan Taekwon-DO IIC Ke-159

Kursus kejurulatihan taekwon-do(ITF) bertaraf antarabangsa telah selama 3 hari bertempat di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu bermula pada 2 sehingga 4 September 2022.

Persekutuan Taekwon-Do Malaysia(MTF) kembali mewarnai perkembangan sukan taekwon-do tanah air dengan mencipta penanda aras baharu sebagai tuan rumah penganjuran kursus kejurulatihan bertaraf antarabangsa(IIC) yang telah menerima penyertaan seramai 185 peserta dari 11 negara.

Kuala Terengganu yang menjadi destinasi bagi penganjuran antarabangsa edisi ke-159 menerima sambutan di luar jangkaan di mana tidak hanya penyertaan dari negara-negara jiran Asia Tenggara malah dari negara benua Eropah seperti Finland dan German begitu juga dari Australia, New Zealand, Nepal dan India sekaligus meletakkan kepercayaan buat MTF sebagai tuan rumah.

Kursus kejurulatihan yang berlangsung selama 3 hari bertempat di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu meliputi 9 slot latihan yang perlu ditempuhi oleh setiap pelatih sebelum layak untuk ditauliahkan kenaikkan tali pinggang ‘Dan’ ke peringkat yang lebih tinggi. Pentauliahan yang diiktiraf oleh badan induk dunia ini penting buat setiap pelatih di mana merupakan ‘azimat’ untuk beraksi ke pentas yang lebih tinggi khususnya melibatkan sebarang kejohanan di seluruh dunia.

Menambah menarik setiap pentauliahan itu disempurnakan sendiri dengan kehadiran presiden badan induk dunia ITF Grand Master Paul Weiler bersama timbalan presiden Grand Master Michael Daher yang turut hadir berkampung di Kuala Terengganu ini. Kehadiran dua pucuk pimpinan badan induk dunia ini juga memberi khabar gembira buat MTF setelah mengumumkan yang Malaysia kini di dalam penilaian sebagai tuan rumah untuk penganjuran kejohanan bertaraf Asia yang dijadualkan pada 2024 nanti.

“Malangnya pandemik COVID-19 merencatkan segala perancangan yang telah diaturkan khususnya bagi memberi fokus pada sebarang program penganjuran mahupun kejohanan melibatkan negara-negara di benua Asia ini sebagai tuan rumah.

“Kini fokus kami adalah untuk menganjurkan Piala Dunia ITF di China pada 2026 nanti dan sebelum itu adalah penganjuran Kejuaraan Asia di mana ITF masih membuat penilaian pada beberapa negara untuk menjadi tuan rumah sama ada Malaysia atau China dan mungkin Indonesia yang menjadi perhatian kami.

“Penilaian kami tidak semestinya kemampuan tenaga kerja pasukan tuan rumah itu sendiri di mana beberapa aspek seperti fasiliti, logistik dan lain-lain faktor yang menjadi tambah nilai buat tuan rumah nanti.”, ujar presiden ITF Grand Master Paul Weiler.

Manakala presiden MTF Senior Master Najmi Abdullah menyambut baik hasrat badan dunia itu di mana beliau menyifatkan ianya satu penghormatan buat negara yang mampu untuk mengembalikan kegemilangan sukan taekwon-do tanah air yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Kejayaan penganjuran Kejuaraan Taekwon-Do Sedunia edisi ke-9 di Kuala Terengganu pada tahun 1994 telah meletakkan negara ini setaraf dengan beberapa negara kuasa besar sukan ini sekaligus mencetus fenomena di peringkat pembangunan dalam negara.

“Sekarang kita perlu berusaha lebih keras sekiranya kembali menjadi tuan rumah bagi penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa. Banyak perkara yang perlu dipenambahbaikan khususnya melibatkan fasiliti infrastruktur, logistik, penginapan dan kemudahan akses pengangkutan bagi setiap pasukan yang hadir. Kini di Kuala Terengganu sendiri kita boleh melihat dengan beberapa infrastruktur sukan dengan kemudahan asrama baru milik Majlis Sukan Negeri Terengganu dengan jaringan pengangkutan awam khususnya lapangan terbang yang berhampiran bakal menjadi tambah nilai untuk Terengganu kembali menjadi tuan rumah.

“Berbeza sewaktu kita menjadi tuan rumah kejohanan dunia pada tahun 1994 yang lalu di mana ketika itu hanya ada beberapa hotel sahaja di sekitar Kuala Terengganu. Ketika itu kami hanya mampu menerima penyertaan sebanyak 88 negara walaupun penyertaan lebih dari 100 negara berminat untuk hadir ketika itu.

Walaupun ketika ini perbincangan masih di peringkat awal, namun kami di MTF telah membuat beberapa perbincangan awal dengan beberapa pemegang taruh yang lain mahupun bakal-bakal penaja untuk turut sama untuk merealisasikan penganjuran antarabangsa ini.

Faktor kadar tukaran wang yang rendah ketika ini menjadi kelebihan buat Malaysia untuk menjadi tuan rumah di mana penganjuran ini sudah pasti akan menjana sosio ekonomi setempat dengan membawa jumlah pelancong yang lebih besar ke dalam negara.”, ujar presiden MTF Senior Master Najmi Abdullah.

Beliau juga menjelaskan perkembangan sukan taekwon-do tanah air kini berada di landasan yang terbaik khususnya melibat program pembangunan di seluruh negara yang dikembangkan oleh setiap jurulatih-jurulatih bertauliah berbanding lain-lain negara di rantau ASEAN. Perkembangan ini menjadi tambah nilai terbaik untuk menjadi pilihan sebagai tuan rumah untuk penganjuran bertaraf antarabangsa sejajar dengan hasrat badan induk dunia yang kini memberi fokus pada rantau Asia.

AUG 2022: Kontijen Malaysia Capai Sasaran Menerusi Emas Taekwondo

Pingat emas ke-35 dari kem taekwondo yang disumbangkan oleh Nurul Hidayah Abdul Karim sekaligus mencapai sasaran kutipan pingat bagi kontijen Malaysia di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG 2022) di Ubon Ratchathani, Thailand pada 2 Ogos 2022. Kredit Foto – Agensi

Selepas berjuang selama lapan hari pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, kontinjen Malaysia akhirnya berjaya menemui pingat emas yang ke-35, sekali gus mencapai sasaran yang telah mereka tetapkan. Emas ke-35 itu dihasilkan oleh atlet taekwondo, Nurul Hidayah Abdul Karim.
Acara taekwondo yang membuka gelanggang hari ini, memperlihatkan permulaan yang baik buat skuad negara apabila mereka menamatkan saingan pada hari pertama dengan pencapaian satu pingat emas dan dua perak.

Lebih menarik, pingat emas yang diraih oleh Nurul Hidayah Abdul Karim itu merupakan emas yang ke-35, sekali gus memenuhi sasaran kontinjen negara pada temasya kali ini. Kemenangan Nurul Hidayah itu diperoleh menerusi acara poomsae individu wanita selepas mencatat 8,383 mata yang sudah cukup untuknya menewaskan atlet Thailand yang memungut 8,350 mata.

Nurul turut meraih pingat perak dalam acara beregu campuran bersama pasangannya Jason Loo Jun Wei. Kredit Foto – Agensi

“Saya berasa puas kerana berjaya menyumbangkan pingat yang ditunggu-tunggu oleh kontinjen negara. Alhamdulillah kemenangan ini membolehkan kita mencapai sasaran 35 emas pada temasya AUG kali ini,” jelas Nurul Hidayah.

Mereka berjaya memungut 8,533 mata, namun tidak cukup untuk mengatasi pungutuan mata yang diperoleh atlet Thailand iaitu 8,616. Jason yang beraksi dalam acara individu lelaki turut meraih pingat perak selepas tewas kepada lawannya dari Thailand, Sianglio Worapol. Worapol mengutip 8,233 mata manakala Jason sekadar meraih 8,116 mata.

Regu putri yang dibarisi Atiqah Fakhira Shaiful Azli, Nur Husnina Abdul Hamid dan Nurmunirah Zaharuddin. Kredit Foto – Agensi

Acara pencak silat juga membuat permulaan yang baik hari ini dengan pencapaian satu pingat emas menerusi regu putri yang dibarisi Atiqah Fakhira Shaiful Azli, Nur Husnina Abdul Hamid dan Nurmunirah Zaharuddin. Trio negara itu tampil dengan aksi yang sangat memukau, sekali gus memperoleh 460 mata untuk menewaskan Thailand yang sekadar meraih 449 mata. Selain satu emas, skuad silat turut menyumbangkan tiga pingat perak dan satu gangsa.

Pingat perak dihasilkan menerusi acara regu putra yang dibarisi Muhammad Amirul Haiqal Muhamad Yusof, Muhammad Faiz Danial Mohd Dahalam dan Muhammad Nur Hafiz Yusof Khalid manakala gandingan Luqman Nul Hakim Che Abdullah dan Muhammad Ammar Sufi Muhammad Rosli melakukannya dalam acara ganda putra.

Satu lagi pingat perak skuad silat dijelmakan oleh Mohamad Nur Syahmi Rohamidi menerusi acara putra tunggal. Gangsa disumbangkan Mirsha Nurathiqa Mirnawan dalam acara tunggal putri.

Acara-acara lain yang berlangsung hari adalah sepak takraw yang menyaksikan Malaysia menang mudah 3-0 ke atas Laos dalam kategori berpasukan.
Skuad petanque pula gagal meneruskan kemaraan untuk penentuan pingat emas dan perak, dan mereka akan kembali beraksi esok untuk memburu gangsa. Acara tersebut dihentikan petang ini akibat hujan lebat.

Skuad futsal pula tewas kepada Thailand 1-4 dalam perlawanan penentuan untuk ke final. Skuad bola keranjang wanita juga tewas kepada Thailand 58-88 dalam perlawanan peringkat kumpulan. Acara bola sepak yang dihentikan hampir 40 minit akibat hujan lebat, menyaksikan skuad negara tewas 1-2 kepada Laos, namun mereka berjaya melangkah ke final Jumaat ini untuk berdepan Thailand. Kali terakhir skuad bola sepak menempah tiket ke final adalah pada AUG 2008.

Selepas selesai perjuangan hari ini, kontinjen negara kini sudah memungut 36 pingat emas, 58 perak dan 28 gangsa.

Persekutuan Taekwon-Do Malaysia(ITF) Berpusat Di Terengganu

Persekutuan Taekwon-Do Malaysia(ITF) yang baru ditubuhkan kini berpusat di Terengganu. Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd

Persekutuan Taekwon-do Malaysia(MTF) yang baru ditubuhkan pada Ogos tahun lalu terus komited untuk meletakkan penanda aras terbaik demi memartabatkan sukan taekwon-do tanah air. Meletakkan ketelusan pengurusan badan sukan sebagai agenda utama penubuhan berjaya menarik kepercayaan 15 badan gabungan seluruh negara dalam tempoh kurang setahun.

Terkini dalam Mesyuarat Agung Kali Pertama yang diadakan secara dalam talian merekodkan kehadiran perwakilan seramai 61 orang terdiri daripada perwakilan setiap negeri, kelab-kelab bersekutu dan juga pemerhati jemputan meletakkan satu penanda aras terbaik untuk MTF meneruskan agenda perjuangan badan sukan ini.

Pada mesyuarat yang sama juga turut berlansung pemilihan ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 yang dibuat secara dalam talian melalui pengundian secara elektronik bersistematik. Memanfaatkan penggunaan teknologi sepenuhnya menjadi pilihan terbaik sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir dalam usaha untuk memperkukuhkan badan sukan yang turut berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia(PSM) ini.

Senior Master Najmi Abdullah dilantik sebagai Presiden Persekutuan Taekwon-do Malaysia(MTF) bagi penggal 2021 sehingga 2023. Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd

Keputusan sebulat suara telah berjaya dicapai untuk melantik Senior Master Najmi Abdullah sebagai Presiden MTF bagi sesi 2021 sehingga 2023 ini di mana beliau merupakan di antara pelopor awal sejarah seni Taekwon-Do tanah air. Perlantikan ini dilihat tepat pada waktunya memandangkan ketandusan kepimpinan untuk membawa hala tuju badan sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Malah turut menerima perlantikan jawatan kuasa adalah daripada golongan muda untuk menongkah arus modenisasi sukan seni mempertahankan diri yang telah bertapak di negara sejak 1963.

Senior Master Najmi Abdullah(kiri) sewaktu kunjung hormat bertemu Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya. Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd

Mengulas lanjut, Najmi Abdullah juga turut meletakkan sasaran bagi penyertaan kejuaraan dunia yang julung kali akan diadakah secara dalam talian pada September nanti. Kejuaraan yang dianjurkan oleh International Taekwon-Do Federation (ITF) selaku badan induk dunia dijadualkan berlangsung pada 4 September sehingga 19 September 2021 nanti turut mempertaruhkan beberapa atlet ternama dunia walaupun diadakan secara dalam talian sepenuhnya. Melihat inisiatif badan induk dunia yang turut sama mengadaptasi norma baharu dalam penggunaan teknologi meletakkan MTF selaku entiti taekwon-do terbesar dalam negara berada di landasan tepat demi hala tuju badan sukan ini.

Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd

Menambah menarik, pusat pentadbiran sukan taekwon-do ini juga akan berpusat di negeri Terengganu di mana akan beroperasi sepenuhnya di fasiliti Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT). Sememangnya MTF bersama MSNT telah menjalinkan kerjasama sejak sekian lama dalam persediaan atlet ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di mana beberapa atlet MTF turut beraksi cemerlang meraih podium pada penganjuran itu. Seterusnya MTF kini dalam proses pendaftaran untuk bernaung di bawah Majlis Olimpik Malaysia sebagai ahli gabungan yang diiktiraf demi memartabatkan sukan taekwondo tanah air.

Norlan United Taja Pembangunan Taekwondo Terengganu

Klik untuk lihat video – https://youtu.be/YftfPL7GLN8

Sukan taekwondo bagi negeri Terengganu sungguh bertuah kerana mendapat perhatian dari syarikat pembinaan dan hartanah; Norlan United (AHT (Norlan United) & Carriage Sdn. Bhd.) yang sudi menaja sepenuhnya bagi program pembangunan sukan ini. Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Zainal Abidin(SMK Tengku Zainal Abidin) menjadi saksi penuh bersejarah pada majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) di antara Norlan United bersama Persekutuan Taekwon-Do Terengganu(ITF) dan juga barisan pengurusan sekolah ini.

SMK Tengku Zainal Abidin yang terletak di Jalan Maras, Kampung Padang Kemunting telah dipilih untuk perlaksanaan sulung program pembangunan sukan taekwondo ini. Terletak di kawasan luar bandar dari ibu negeri Terengganu menjadi pilihan terbaik untuk program ini di mana secara tidak langsung membantu pembangunan sahsiah pelajar-pelajar sekolah ini. Malah menambah menarik, Norlan United juga turut sudi untuk menaja sebarang penyertaan tanpa had daripada anak-anak komuniti yang tinggal berhampiran.

Tan Sri Haji Abdullah bin Haji Taib selaku Pengerusi merangkap Pengarah Urusan AHT (Norlan United) & Carriage Sdn. Bhd hadir untuk menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) di antara Norlan United bersama Persekutuan Taekwon-Do Terengganu(ITF) dan juga pengurusan SMK Tengku Mizan Zainal Abidin. Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Norlan United merupakan syarikat yang telah lama lahir di bumi negeri Terengganu ini, jadi ini semua merupakan sebahagian dari tanggungjawab sosial kami kepada anak-anak Terengganu khususnya mereka yang berada di luar bandar untuk diberi perhatian. Terengganu selaku negeri kuasa besar sukan dan sudah pasti program pembangunan berterusan menjadi teras untuk mencapai kejayaan. Begitu juga taekwondo seperti sukan-sukan lain yang harus diberi sokongan untuk memastikan program pembangunan ini berterusan.”; ujar Tan Sri Haji Abdullah bin Haji Taib selaku Pengerusi merangkap Pengarah Urusan AHT (Norlan United) & Carriage Sdn. Bhd.

Timbalan Persekutuan Taek-Wondo Terengganu Nasree Najmi sewaktu menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) di antara Norlan United bersama Persekutuan Taekwon-Do Terengganu(ITF) dan juga pengurusan SMK Tengku Mizan Zainal Abidin. Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Hubungan baik di antara pihak persatuan bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu sudah pasti menjadi penanda aras utama bagi masa depan setiap atlet-atlet taekwondo ini untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh sedemikian sememangnya program pembangunan seperti ini menjadi faktor penting untuk kita mencungkil bakat di peringkat usia muda sebelum bakat dan kemahiran mereka digilap untuk menjadi atlet profesional.”; berkata Nasree Najmi selaku Timbalan Persekutuan Taek-Wondo Terengganu kepada PenyuSukan.com

SMK Tengku Mizan Zainal Abidin yang terletak di Jalan Maras, Kampung Padang Kemunting merupakan lokasi pilihan sulung bagi program pembangunan sukan taekwondo yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada syarikat Norlan United. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Momentum pembangunan sukan taekwondo ini tidak hanya terhenti di sini malah beberapa sekolah di lain-lain daerah juga telah dikenal pasti untuk dikembangkan program pembangunan ini. Menyasarkan peringkat umur pelajar sekolah juga dilihat mampu untuk menjadi satu platform terbaik bagi mencungkil bakat ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Sudah pasti pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) menjadi keutamaan untuk penyertaan dari anak jati kelahiran negeri Terengganu ini.

X