
KUALA TERENGGANU – Terengganu berpuas hati dengan persiapan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA Selangor 2026, meskipun terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi menjelang temasya edisi ke-22 itu.
Timbalan Ketua Kontinjen (TDCM) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pihaknya memahami tekanan yang dihadapi Selangor sebagai tuan rumah dan percaya segala usaha terbaik sudah dilakukan bagi memastikan kelancaran temasya.
“Hasil maklum balas yang kami terima, kami memahami situasi yang berlaku dan percaya pihak tuan rumah sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan semua kontinjen negeri dapat bertanding tanpa masalah, khususnya membabitkan venue pertandingan.

“Sebagai tuan rumah, sudah tentu mereka mahu memberikan yang terbaik kerana segala yang dilakukan akan menjadi sebahagian daripada sejarah penganjuran SUKMA kali ini,” katanya.
Menurut Zuraida, antara cabaran yang turut perlu dihadapi kontinjen negeri pada edisi kali ini adalah ketiadaan perkampungan sukan yang secara tidak langsung memerlukan setiap kontinjen membuat perancangan logistik dengan lebih teliti.
Katanya, keadaan itu turut memberi sedikit cabaran kepada Terengganu dalam mengurus pergerakan dan keperluan atlet, namun perkara berkenaan sudah diatur sebaik mungkin bagi memastikan persiapan atlet tidak terjejas.
“Situasi ini bukan sahaja memberi cabaran kepada tuan rumah, malah tempiasnya turut dirasai kontinjen lain. Bagi kami, ketiadaan perkampungan sukan memerlukan percaturan logistik yang lebih teratur.
“Bagaimanapun, perkara itu sudah kami selesaikan sebaik mungkin supaya atlet dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan tanpa tekanan tambahan,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengakui sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang dilantik sebagai jabatan angkat kepada pasukan serta badan induk sukan negeri banyak membantu melancarkan persiapan kontinjen Terengganu.
Pada SUKMA Selangor 2026, Terengganu mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 acara yang dipertandingkan dengan kekuatan 799 orang termasuk atlet dan pengurusan pasukan.
Kontinjen dari Pantai Timur ini menyasarkan sekurang-kurangnya 61 pingat emas bagi memastikan Terengganu berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan selepas mengumpul 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa.







