SUKIPT 2026: UC TATI RHINO MAU TEBUS KEGAGALAN DI SINTOK

Gandingan muka lama dan muka baru UC TATI Rhino menjadi taruhan untuk saingan ragbi 7 sepasukan di pentas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi(SUKIPT) edisi ke-7 pada Ogos nanti.

Setelah melalui pengalaman pahit terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lalu, skuad ragbi UC TATI Rhino kini tampil dengan semangat baharu untuk mengharungi cabaran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026. Walaupun berdepan kesibukan semester yang baru bermula, pasukan ini terus giat memperkemaskan persiapan bagi memastikan rekod lama dapat diperbaiki.

Kali ini, gabungan pemain berpengalaman bersama muka baharu memberi suntikan segar buat pasukan. Ramai antara pelajar baharu Kolej Universiti TATI di Kemaman, Terengganu merupakan bekas pemain ragbi yang pernah beraksi di kejohanan lain, sekali gus menambah kekuatan barisan Rhino.





Pengurus pasukan, Ahmad Farid Ridhwan Zakaria, yang sudah bersama UC TATI Rhino sejak 2016, menetapkan sasaran realistik untuk menempatkan pasukan dalam kelompok lima terbaik. “Kami sedar pasukan ini bukan pilihan utama berbanding IPT lain yang dibarisi pemain kebangsaan dan antarabangsa. Namun, kami tetap optimis untuk mencatatkan pencapaian terbaik,” katanya.

Kapten pasukan, Muhammad Daniell Aqtar Uzir, yang kini berada di tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik, turut menyuarakan harapan tinggi. “Ini mungkin penampilan terakhir saya bersama Rhino. Saya mahu meninggalkan pasukan dengan kenangan manis, sekurang-kurangnya berada di podium SUKIPT,” ujarnya.

Untuk rekod, edisi lalu menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara acara ragbi 7 sepasukan lelaki selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan keputusan 21-0. Edisi ke-7 SUKIPT kali ini akan berlangsung bermula 28 Ogos di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, dengan penyertaan 65 kontinjen dari seluruh IPT negara.

X