Dalam dunia sukan, kalah dan menang adalah lumrah. Namun, apabila kemenangan yang sah seolah-olah ‘dirampas di siang hari’, ia bukan sekadar mencetus kekecewaan, malah mengundang persoalan serius terhadap integriti penganjuran.
Itulah nasib malang yang menimpa pasukan rali tempatan, R&R Sport Speed Garage, apabila dinafikan tempat ketiga kategori M3 dalam perlumbaan Malaysia Festival of Speed 2025 (MFOS 2025) yang melabuhkan tirai pada 17 Ogos lalu. Kecelaruan keputusan perlumbaan menyaksikan pasukan dari kategori lain diumumkan sebagai pemenang podium, sekali gus menafikan hak pelumba Dinie Nazmi Abd Rahman dan Mohd Nazam Shah Sulaiman di tempat ke-3 podium perlumbaan.
Insiden ini mencetuskan keresahan dalam kalangan pasukan bertanding dan pemerhati industri, yang mula mempersoalkan tahap profesionalisme serta kredibiliti penganjur—lebih-lebih lagi apabila acara sebesar MFOS membawa reputasi tinggi di peringkat kebangsaan malah menjadi tiket untuk beraksi ke peringkat yang lebih tinggi.
Perkara ini tidak akan berlaku menjadi lebih buruk sekiranya pihak penganjur sanggup membuang ego untuk menerima teguran mahupun maklumbalas awal oleh pasukan bertanding yang lebih awal mempersoalkan keputusan itu sebelum setiap pemenang diumumkan untuk menaiki podium dalam satu majlis yang telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
“Secara peribadi, ini bukanlah kali pertama berlaku kepada pasukan kami dalam lain-lain perlumbaan oleh penganjur yang berlainan. Namun sampai bila untuk kami terus berdiam diri begitu juga buat lain-lain pasukan yang bertanding sekiranya isu sedemikian menimpa mereka? Apatah lagi untuk penganjuran MFOS ini yang boleh kita sifatkan satu penganjuran kejuaraan sukan permotoran terbesar dalam negara.
“Situasi kecelaruan keputusan rasmi tidak sepatutnya berlaku oleh pihak penganjur yang mempunyai reputasi besar selaku badan induk sukan permotoran negara. Begitu juga sekiranya individu-individu dari kalangan pemegang taruh tersebut tidak mempunyai ego yang tinggi sudah tentu situasi ini kita boleh perbetulkan lebih awal tanpa mencalar imej mana-mana pihak begitu juga buat pasukan bertanding yang membawa reputasi dari penaja masing-masing.
“Penganjur perlu mengambil serius bahawa setiap pasukan berentap di dalam perlumbaan adalah rakan kongsi kepada pihak penganjur. Sekiranya situasi lebih buruk berlaku sudah tentu jumlah penyertaan bakal meletakkan penanda aras prestij sesuatu penganjuran. Kos yang besar telah dikeluarkan oleh setiap pasukan malah setiap perlumbaan juga dibayar untuk yuran penyertaan. Janganlah membunuh semangat sukan rali yang ada ini khususnya bagi generasi pelumba baru yang ingin mendekati sukan ini. Juga situasi yang timbul ini bukan hendak memburukkan mana-mana pihak termasuk pasukan tertentu yang tersilap menaiki podium.
“Terkini telah diumumkan keputusan yang diperbetulkan di mana saya kembali berjaya mendapat mata perlumbaan untuk musim ini, namun kita tidak mampu untuk mengundur masa untuk kembali melihat pihak yang sepatutnya menaiki podium ketika itu.
“Kalah atau menang adat bertanding tetapi biarlah bermaruah. Maruah untuk dinobatkan menaiki podium dan juga maruah buat penganjur untuk lain-lain penganjuran akan datang. Sudah tentu saya malah seluruh keluarga pasukan R&R Sport Speed Garage termasuk rakan-rakan penaja kami amat kecewa dan sedih,” ujar Dinie Nazmi Abd Rahman yang dihubungi setelah melepasi tempoh 48 jam insiden ini berlaku.
Difahamkan situasi ini timbul berikutan pihak penganjur mengambil keputusan tidak rasmi(provisional result) untuk diumumkan sebagai pemenang berikutan tempoh masa yang pendek disediakan oleh pihak penganjur untuk meneruskan majlis podium pemenang sejurus tamat perlumbaan.
Kekangan tempoh masa yang pendek juga menyebabkan menimbulkan situasi kekalutan di antara pasukan bertanding untuk mengemas ‘service park’ masing-masing sekaligus menjadi halangan untuk membuat bantahan rasmi melalui saluran yang sepatutnya. Namun atas semangat kesukanan, wakil pasukan mengambil pendekatan awal secara budi bahasa untuk menegur kesilapan besar oleh pihak penganjur yang boleh menjahanamkan reputasi setiap pemegang taruh namun situasi sebaliknya telah berlaku.
Walaupun insiden ini telah sedikit sebanyak menjejaskan reputasi pasukan R&R Sport Speed Garage, fokus pasukan seterusnya adalah untuk menghabiskan dua lagi baki perlumbaan sebelum kalendar Kejuaraan Rali Malaysia 2025 melabuhkan tirai sekaligus menyasarkan podium bagi juara keseluruhan musim ini.
Untuk rekod, Dinie Nazmi Abd Rahman merupakan di antara pelumba profesional tempatan yang sering mewarnai arena perlumbaan rali sejak 2008 manakala Mohd Nazam Shah Sulaiman telah melakar sejarah sukan permotoran sejak 2004. Manakala pasukan R&R Sport Speed Garage yang mempunyai reputasi besar di dalam arena sukan permotoran tanah air di mana tidak hanya hadir sebagai pasukan lumba malah turut menarik sama generasi baru untuk mencuba sukan ini dengan menawarkan perkhidmatan sewa kereta lumba mahupun pengurusan pasukan lumba yang bertanding.