Setelah tertangguh selama 1 bulan tanpa sebarang perlawanan, kini pentas perebutan kejuaraan Liga M3 kembali beraksi dengan menyaksikan 7 perlawanan melibatkan kumpulan A dan kumpulan B di venue masing-masing yang telah berlangsung kelmarin.
Bertempat di padang sintetik Stadium Mak Cili, Kemaman menyaksikan pasukan tuan rumah Real Chukai FC gagal untuk menambah mata liga setelah dinafikan oleh pasukan pelawat Persada Intergriti Bersatu Football Club (PIB FC) berkesudahan 2-1 sekaligus mengutip 3 mata untuk memperkukuh tangga kedudukan kedua Kumpulan B.
Jaringan sulung perlawanan seawal minit ke-9 separuh masa pertama permainan oleh pasukan pelawat menerusi Muhammad Fa’es Hafize Mohd Fadzil memecah kebuntuan setelah kedua-dua pasukan tercari-cari rentak untuk penguasaan perlawanan.
Kesilapan PIB FC untuk penguasaan momentum pada babak separuh masa kedua mengundang padah apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah yang disempurnakan oleh Mohammad Amir Ashraf Hussin sekali gus mengikat keputusan 1 sama di minit ke-53 permainan. Namun selang 11 minit kemudian Mohd Zahieruddin Zakaria menghukum pasukan tuan rumah dengan kesilapan jaringan gol sendiri di minit ke-64 sekaligus memberi kelebihan buat PIB FC untuk mendahului permainan 2-1.
Keghairahan pasukan pelawat untuk terus merobek gol lawan sekali lagi dihukum dengan layangan kad merah di minit ke-85 kepada Muhammad Fa’es Hafize Mohd Fadzil setelah menyimpan dua kad kuning gagal dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Real Chukai FC sehingga tamat permainan.
“3 mata amat bermakna buat kami hadir selaku pasukan pelawat memandangan persediaan pasukan amat singkat memandang ketika suasana Aidilfitri ketika ini. Namun untuk fokus seterusnya banyak perkara yang perlu kami selesaikan.. kad merah milik kami pada perlawanan ini bukan suatu perkara yang boleh diambil ringan untuk percaturan pasukan bagi perlawanan seterusnya. Walaupun beraksi kurang seorang pemain, kredit harus diberikan pada pemain saya yang berjaya mengekalkan komunikasi dalam padang yang baik untuk meraih kemenangan hari ini. Bukan satu kemenangan mudah buat kami untuk beraksi di pandang sintetik ini.”, ujar K. Ramachandran selaku ketua jurulatih PIB FC yang ditemui PenyuSukan.com.
“Perlawanan ke-6 buat kami ini memperlihatkan kedua-dua pasukan menunjukkan satu permainan yang bagus untuk beraksi di atas padang sintetik ini dan kekalahan kita hari ini tidak dinafikan..kelebihan buat pasukan pelawat yang memiliki ketinggian fizikal pemain berbanding kita. 4 perlawanan seterusnya adalah 4 pasukan teratas di kedudukan liga.. ke semua perlawanan itu di laman kami sendiri. Jadi kami perlu fokus untuk kekal mengutip mata untuk mara ke pusingan akhir.”, ulas Mohd Nik yang baru mengalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih Real Chukai FC.
Liga M3 musim ini yang telah membuka tirai kejuaraan pada awal Februari lalu melibatkan 20 pasukan yang berentap dalam dua kumpulan sebelum melangkah ke peringkat akhir pada Ogos nanti. Seterusnya perlawanan akhir penentuan kejuaraan bakal untuk melabuh tirai musim ini dijadualkan pada September depan. Lima pasukan di kedudukan teratas musim ini bakal meraih slot Liga Perdana pada musim hadapan.