Oleh yang sedemikian keputusan Lembaga Pengurus MSN menggugurkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo berkuat kuasa di SUKMA 2018 malah sudah dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Ketiga-tiga sukan ini yang pernah disenaraikan sebagai sukan wajib dipertandingkan tidak pernah ketinggalan daripada dipertandingkan di temasya SUKMA.
“Keputusan yang diputuskan Lembaga Pengurus MSN itu turut merangkumi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Jadi, ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” katanya kepada pemberita.
Menjelang temasya kejohanan SUKMA 2018 nanti sebanyak 369 acara bakal dipertandingan terdiri dari 26 jenis sukan di mana 16 sukan berstatus wajib dipertandingankan yang merupakan sukan teras manakala baki 10 jenis sukan lagi adalah sukan pilihan ditentukan oleh tuan rumah.
Untuk rekod, pada edisi penganjuran SUKMA terdahulu hanya 19 sukan wajib yang merupakan sukan teras dipertandingkan. Kini 16 sukan wajib dipertandingkan terdiri dari akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak dan futsal, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, boling serta wushu. Manakala sukan pilihan pula adalah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, petanque, ragbi, muay dan tinju.
Pada 12 Disember 2017 lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).