MSN Iktiraf Sukan Elektronik

Sebagai persediaan membentuk pasukan kebangsaan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024. Kredit Foto – Nerdgoblin.com

Majlis Sukan Negara (MSN) kini mengorak langkah dengan mengiktirafkan sukan elektronik sebagai salah satu sukan yang harus diberikan perhatian. Pada 12 Disember lalu, Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin mengumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan satu unit khas bagi memberi tumpuan kepada sukan elektronik di negara ini. Unit Khas ini akan diletakkan di bawah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara.

Menurut Khairy, pihak MSN yang diketuai oleh Dato’ Ahmad Shapawi Ismail selaku ketua pengarah akan ditugaskan untuk mencari pegawai-pegawai yang pakar untuk berinteraksi komuniti sukan ini sekali gus memperkasakan unit khas ini. Sukan ini merupakan satu bentuk sukan baru yang harus diberi perhatian setelah mendapat pengiktirafan Majlis Olimpik Asia (OCA). Keputusan ini secara tidak lansung memberi gambaran persediaan membentuk pasukan kebangsaan untuk berlatih menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024.

“Ini adalah realiti. Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggalan. Saya difahamkan kita ada atlet E-Sukan yang bertaraf dunia jadi mungkin kita boleh libatkan mereka di dalam unit itu”, ujar Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin.

Pengiktirafan sukan baru ini sudah pasti MSN akan memberikan peruntukan serta bantuan secukupnya untuk pembangunan sukan ini di negeri-negeri di dalam Malaysia ini untuk persediaan Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024. Sukan ini juga dikhabarkan turut bakal menjadi sukan demonstrasi Sukan Asia Ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada tahun ini.

KP MSN: SUKMA 2018 Wajib Gugur Sukan Digugurkan

“Ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” ujar Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara. Kredit Foto – Nurul Shafina Jemenon

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Dato’ Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan kepada pemberita bahawa tiga sukan yang telah digugurkan daripada sukan teras tidak boleh dipertandingkan pada penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 yang akan berlansung di Perak nanti. Sukan Malaysia adalah Temasya Sukan Remaja Kebangsaan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negeri sebagai tuan rumah.

Oleh yang sedemikian keputusan Lembaga Pengurus MSN menggugurkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo berkuat kuasa di SUKMA 2018 malah sudah dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Ketiga-tiga sukan ini yang pernah disenaraikan sebagai sukan wajib dipertandingkan tidak pernah ketinggalan daripada dipertandingkan di temasya SUKMA.

“Keputusan yang diputuskan Lembaga Pengurus MSN itu turut merangkumi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Jadi, ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” katanya kepada pemberita.

Menjelang temasya kejohanan SUKMA 2018 nanti sebanyak 369 acara bakal dipertandingan terdiri dari 26 jenis sukan di mana 16 sukan berstatus wajib dipertandingankan yang merupakan sukan teras manakala baki 10 jenis sukan lagi adalah sukan pilihan ditentukan oleh tuan rumah.

Untuk rekod, pada edisi penganjuran SUKMA terdahulu hanya 19 sukan wajib yang merupakan sukan teras dipertandingkan. Kini 16 sukan wajib dipertandingkan terdiri dari akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak dan futsal, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, boling serta wushu. Manakala sukan pilihan pula adalah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, petanque, ragbi, muay dan tinju.

Pada 12 Disember 2017 lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).

X