Sensasi kejayaan Muhammad Darul Najmi bin Dollah setelah memecah rekod kejohanan temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 baru-baru ini tidak hanya terhenti di situ sahaja. Terkini atlet berusia 21 tahun ini telah menerima ganjaran sebuah skuter Yamaha Ego Avantiz bernilai RM5,700.00 dalam satu majlis meraikan kejayaan skuad angkat berat Terengganu Hanelang yang berentap di temasya SUKMA Perak tidak lama dahulu.
Pada temasya SUKMA Perak 2018 dalam acara 69kg clean and jerk, Darul Najmi berjaya memadamkan rekod yang dicipta oleh Mohd Hafifi Mansor dengan bebanan 164kg di mana melebih 1kg dari rekod terdahulu yang diangkat di SUKMA Perlis 2016. Kejayaan manis ini juga sudah pasti tidak akan dilupakan memandangkan ianya adalah penampilan terakhir di pentas temasya SUKMA atas dasar faktor umur. Walaupun sedemikian, atlet berpengalaman besar yang pertama kali beraksi secara kompetitif sejak berusia 11 tahun dan 4 kali penyertaan di pentas SUKMA sudah pasti tidak akan menamatkan karier sebagai atlet begitu sahaja.
“Amat berterima kasih kepada bapa angkat kepada persatuan angkat berat ini.. sebab hadiahkan sebuah motor ini.. saya amat-amat bersyukur .. sememangnya macam tidak percaya kerana dalam beberapa kejohanan sebelum SUKMA Perak saya lansung tidak mengutip sebarang emas.. Tetapi setelah itu, saya berjaya mendapat emas dan memecahkan rekod”, ujar Darul Najmi dalam nada sebak.
Pada temasya SUKMA Perak 2018, sasaran yang diletakkan hanya pingat perak bagi acara snatch dan pingat gangsa bagi acara clean & jerk. Namun pemuda ini berjaya memberikan kejutan untuk aksi terakhir di pentas SUKMA sekaligus membantu kontijen Terengganu Hanelang dalam misi ‘Win Back Mission‘ untuk muncul juara keseluruhan.