Safares Laung Cabaran!

Atlet sukan pelayaran negeri Terengganu; Alif Safares optimis mampu memberi kejutan kepada atlet-atlet kebangsaan yang bakal berentap dalam Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21 pada 5 hingga 7 Julai 2019 nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Atlet senior sukan pelayaran negeri Terengganu; Alif Safares kini gigih mempersiapkan diri untuk memberi cabaran kepada atlet kebangsaan yang menjadi penanda aras kejayaan buat beliau. Mempertaruhkan acara kegemaran International 420, anak jati Pulau Duyong ini optimis mampu untuk memberi kejutan kejohanan di peringkat kebangsaan nanti.

Terkini beliau berjaya meraih tiket merebut slot ke Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai 2019 nanti setelah mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 Siri 5.

Alif Safares(kanan) bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu sewaktu Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 Siri 5 yang telah berlangsung pada 29-30 Jun 2019 bertempat di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Meraih 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam Kejohanan Liga Layar Terengganu ini secara tidak langsung membakar semangat untuk berentap di Port Dickson nanti. Walaupun mengalami kecederaan sewaktu sesi latihan lalu namun tidak menjadi halangan buat Safares yang begitu teruja untuk berentap. Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah antara atlet kebangsaan menjadi sasaran buat Alif Safares untuk memberi kejutan selaku atlet negeri.





Alif Safares merupakan atlet sukan pelayaran negeri Terengganu sepenuh masa mula menceburi sukan pelayaran sejak berusia 10 tahun. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 ini juga merupakan pentas buat setiap atlet sama ada peringkat senior mahupun peringkat pembangunan diberi peluang sama rata untuk merebut slot ke kejohanan kebangsaan tersebut. Kejohanan ini juga merupakan sebahagian dari program pembangunan sepanjang tahun di bawah kawal selia Majlis Sukan Negeri Terengganu yang dikendalikan oleh ketua jurulatih berpengalaman besar; Abdul Rani Idris dan dibantu oleh beberapa jurulatih berpengalaman lain.

Sementara itu Abdul Rani Idris selaku ketua jurulatih sukan pelayaran negeri Terengganu memberi gambaran sengit pada kejohanan kebangsaan di Port Dickson nanti. Rata-rata atlet pelayaran dari negeri ini adalah skuad pelapis SUKMA yang masih perlu banyak menimba pengalaman.

Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson merupakan kejohanan tahunan bertaraf kebangsaan di mana menawarkan kutipan mata bagi setiap atlet yang bertanding. Kejohanan yang penuh prestij ini sudah pasti turut disertai oleh atlet-atlet kebangsaan dan beberapa pelayar profesional dari luar negara secara tidak langsung memberi cabaran sengit. Optimist, Laser Radial, Laser 4.7, Int 420, Bic Techno dan RS-One antara kategori yang menjadi taruhan bagi atlet-atlet negeri ini.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X