Liga Hoki Wanita Malaysia: TLHT Calarkan Rekod Tanpa Kalah Pendahulu Liga

Aksi pemain Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT); Nursyafiqah bt Mohd Zain(kiri) sewaktu membantu pasukan untuk mencalar rekod tanpa kalah Hockademy KL yang berkunjung ke Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi aksi perlawanan ke-7 Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada 8 Februari 2020. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Gergasi hoki wanita pantai timur; Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) mencipta kejutan amat bermakna buat penyokong di laman sendiri dengan melunaskan hutang kepada pendahulu Liga Hoki Wanita Malaysia 2020(LHWM 2020) sekaligus mencalarkan rekod tanpa kalah Hockademy KL yang menjadi perhatian musim ini.

Hockademy KL hadir selaku pendatang baharu LHWM 2020 juga merupakan pasukan pilihan pada musim ini memandangkan dibarisi beberapa pemain berkualiti yang juga merupakan pemain-pemain kebangsaan dan juga beberapa bekas pemain TLHT.

Terdahulu di awal musim kedua-dua pasukan ini telah bertemu di mana TLHT selaku pasukan pelawat telah dinafikan untuk tewas nipis berkeputusan 2 berbalas 1.

Aksi anak jati Wakaf Tembesu, Kuala Nerus yang telah bersama Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) sejak 2018; Tuan Nurhidayah Tuan Ismail berjaya mencuri bola daripada import lawan dari Australia; Ashley Kate Fey sekali gus mencalar rekod tanpa kalah Hockademy KL yang juga pendahulu liga berkeputusan 1-0 ketika berkunjung ke Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi aksi perlawanan ke-7 Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada 8 Februari 2020. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Sebaik wisel mula permainan ditiup untuk aksi perlawanan ke-6 buat kedua-dua pasukan ini, Hockademy KL mengasak laju untuk penguasaan sepenuhnya di kubu tuan rumah pada suku pertama permainan. TLHT yang seakan hilang rentak di awal permainan mula bangkit pada babak-babak suku permainan seterusnya.

Namun Hockademy KL yang bijak mencuri bola untuk mematahkan serangan demi serangan sekali gus memaksa barisan pertahanan tuan rumah ‘berpeluh jeruk’ di bawah matahari terik membahang Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.





Penjaga gawang Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) yang juga merupakan pemain import berpengalaman dari Kazakhstan; Guzal Bakhavaddin beraksi cemerlang sepanjang 60 minit perlawanan sewaktu menentang pendahulu liga; Hockademy KL pada 8 Februari 2020 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Kredit sudah tentu seharusnya milik buat penjaga gawang TLHT dari Kazakhstan; Guzal Bakhavaddin yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan ini. Malah mungkin pada perlawanan ini adalah persembahan terbaik sepanjang musim buat Guzal di mana banyak menangkis tepat terjahan-terjahan bola tepat ke dalam gawang dengan percubaan 9 pukulan sudut penalti selain deretan percubaan padang. Ketangkasan Guzal yang kini berusia 25 tahun ini juga turut membuat jentera pukulan sudut penalti Hockademy KL ‘mati kutu’ untuk mencipta ruang dan peluang.

Aksi kapten pasukan Terengganu Ladies Hockey Team; Siti Noor Amarina Ruhani(kiri) setelah menyumbangkan gol sulung perlawanan sekaligus menjadi gol tunggal untuk mencalar rekod tanpa kalah pendahulu liga iaitu Hockademy KL yang bertandang ke Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi aksi perlawanan ke-7 Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada 8 Februari 2020. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Setelah rentung bergasak, gol sulung perlawanan akhirnya memihak kepada kapten TLHT; Siti Noor Amarina Ruhani yang berjaya diterjemah hasil dari pukulan sudut penalti pada minit ke-37. Menambah menarik jaringan ini juga adalah percubaan kali ke-2 pasukan tuan rumah sepanjang 60 minit permainan di mana perlawanan ini sememangnya dikuasai oleh pendahulu liga sepenuhnya.

Aksi pemain Hockademy KL; Fatin Shafika Mahd Sukri(jersi merah biru bernombor 21) sewaktu bertemu Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) yang pernah disertai bagi musim 2019 bagi aksi perlawanan ke-7 Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada 8 Februari 2020 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu. Sewaktu bersama TLHT, Fatin Shafika juga turut menyarung jersi bernombor 21. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Tersentak dengan gol pendahuluan milik TLHT, pasukan pelawat mula mengasak padu sehingga hampir-hampir mencipta jaringan gol padang. Kegopohan Hockademy KL yang kian tertekan di minit-minit akhir permainan kian terserlah apabila pemain kebangsaan berpengalaman besar; Fatin Shafika Mahd Sukri membawa pulang kad hijau pertama untuk musim ini. Namun sudah pasti TLHT perlu mempertahankan penguasaan bola sehingga tamat permainan untuk mencalar rekod tanpa kalah milik pasukan pilihan musim ini.

Sebanyak 10 aksi perlawanan peringkat awal Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 yang perlu ditempuhi oleh Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) sebelum mara ke pusingan kedua liga di mana perlawanan penentuan separuh akhir dijadualkan pada 19 Februari 2020 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Kredit Foto – PenyuSukan

Seterusnya bagi aksi perlawanan ke-8 yang dijadualkan pada 11 Februari bertempat di di Stadium Hoki Tun Razak nanti TLHT akan kembali bertemu PDRM Blue Warriors yang kini menghuni tangga ke-4 kedudukan LHWM 2020. Sebelum ini kedua-dua pasukan ini pernah bertemu di mana TLHT berjaya meraih 3 mata liga berkeputusan 1 tanpa balasan di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Terengganu Ladies Hockey Team(TLHT) perkukuh kedudukan liga di tangga ke-2 untuk menghimpit rapat pendahulu liga; Hockademy KL yang telah ditewaskan di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi aksi perlawanan ke-7 Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada 8 Februari 2020. Kredit Foto – Facebook.com/MalaysianHockeyConfederation

KEPUTUSAN LIGA HOKI MALAYSIA 2020
*TLHT sahaja

08.02.2020 1700 | 020 GROUP | Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu
TERENGGANU LADIES HOCKEY TEAM vs HOCKADEMY KL 01-00

JARINGAN GOL
TERENGGANU LADIES HOCKEY TEAM

Siti Noor Amarina bt Ruhani 37″

KAD HIJAU
HOCKADEMY KL – Fatin Shafika bt Mahd Sukri 50″

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X