Liga Hoki Malaysia: THT Kutip 3 Mata Kekal Kelompok Teratas Liga

Aksi bertenaga pemain Terengganu Hockey Team(THT); Faizal Saari(jersi hitam putih) untuk mencipta ruang dan peluang sewaktu menewaskan TNB Thunderbolts berkeputusan 3 berbalas 2 untuk siri perlawanan ke-9 Liga Hoki Malaysia 2020 yang juga merupakan perlawanan ke-3 di laman sendiri bagi musim ini pada 5 Februari 2020 bertempat di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Aksi perlawanan ke-9 Liga Hoki Malaysia 2020(LHM 2020) buat Terengganu Hockey Team(THT) menyaksikan tuan rumah kutip 3 mata liga penuh tekanan di laman sendiri setelah tipis menafikan TNB Thunderbolts berkeputusan 3 berbalas 2. Pada perlawanan ini THT membuat percaturan taktikal dengan mengeluarkan penjaga gawang Muhammad Hafizuddin bin Othman dari senarai pemain untuk memberi kelebihan simpanan pemain di posisi lain.

Begitu juga dengan ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang terpaksa “dikeluarkan” lebih awal setelah digantung 1 perlawanan kerana mengkritik keputusan pengadil pada perlawanan sebelum ini bertemu UniKL.

Jentera pukulan sudut penalti Terengganu Hockey Team(THT) sewaktu menewaskan TNB Thunderbolts berkeputusan 3 berbalas 2 untuk siri perlawanan ke-9 Liga Hoki Malaysia 2020 yang juga merupakan perlawanan ke-3 di laman sendiri bagi musim ini pada 5 Februari 2020 bertempat di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Sebaik wisel mula permainan ditiupkan, tuan rumah mula mencari ruang untuk mara ke kubu lawan namun TNB Thunderbolts mampu mematahkan serangan mengawal situasi. Walaupun pasukan pelawat merupakan pasukan belasahan sepanjang musim sehingga terduduk di dasar tangga kedudukan liga namun permainan kemas anak didik Nor Azlan Bakar mula menambah tekanan.





Jung Manjae menjadi mangsa pengadil dengan layangan kad hijau pertama permainan seawal minit ke-13 sekaligus memberi kelebihan buat lawan untuk mengutip gol pertama permainan hasil pukulan sudut penalti oleh Muhammad Fahmi Khalid. Selang dua minit kemudian gol penyamaan oleh pakar pukulan sudut penalti kelahiran Korea Selatan; Jang Jong Hyun sekaligus menjadi penamat sebelum rehat suku pertama permainan.

Sepanjang 9 aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia 2020; import Terengganu Hockey Team kelahiran Korea Selatan Jung Manjae telah mengutip 2 kad hijau dan 2 kad kuning di mana kad kuning pertama dikutip sewaktu membantu pasukan untuk menewaskan UiTM berkeputusan 5 berbalas 3. Sehingga kini Jung Manjae merupakan pengutip mata demerit tertinggi dalam senarai liga iaitu sebanya 12 mata. Kredit Foto –PenyuSukan.com

Bahang tekanan buat tuan rumah mulai dirasai apabila Jung Manjae dilayakan kad kuning pada minit ke-22 babak suku kedua permainan memaksa Faizal Saari terpaksa pantas mendeposit jaringan gol padang di minit ke-24 untuk mendahului permainan. Kudrat pemain-pemain muda pasukan lawan berjaya memaksa pasukan berpengalaman THT untuk menghadiahkan jaringan gol penalti strok sekaligus mengikat permainan 2-2.

THT kian tersepit dihimpit masa yang mula menipis untuk tidak mengecewakan harapan setiap penonton yang hadir di waktu hari bekerja ini. Walaupun serangan demi serangan mula berkubu di gawang lawan namun masih gagal untuk diterjemahkan menjadi kiraan gol. Malah jentera pukulan sudut penalti tuan rumah turut gagal berpeluang menebuk pertahanan pasukan lawan. Namun bukan untuk ‘pisang seterusnya’ bagi jentera pukulan sudut penalti di mana Jang Jong Hyun akhirnya berjaya menebuk gawang lawan di minit ke-55 permainan sekaligus mendahului sehingga tamat permainan.

Seterusnya pada 7 Februari nanti THT dijadualkan untuk bertandang ke Sungai Petani untuk bertemu Kedah/Nurinsafi HT yang kini menghuni tangga ke-6 kedudukan LHM 2020. Untuk rekod sepanjang 9 aksi siri perlawanan kempen LHM 2020 ini, THT telah mencatatkan 2 rekod kekalahan manakala Kedah/Nurinsafi HT berjaya mencatatkan 2 rekod kemenangan. Situasi ini tidak meletakkan sebarang penanda aras terbaik buat ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah memandangkan Jung Manjae terpaksa direhatkan oleh kerana kutipan kad kuning terkini menyumbang jumlah mata demerit terkumpul untuk penggantungan.

THT dalam misi mesti menang dalam semua baki perlawanan untuk kekal berada di kelompok teratas LHM 2020 bagi menempah slot Piala TNB 2020. UniKL yang kini gah mendahului kutipan mata berada di puncak teratas kedudukan liga memaksa semua pasukan bertanding terpaksa melupakan untuk memburu kejuaraan LHM 2020 ini walaupun masih berbaki beberapa perlawanan.

Tangga kedudukan terkini setelah setiap pasukan Liga Hoki Malaysia 2020 mengharungi aksi ke-9 perlawanan pada 5 Februari 2020. UniKL gah mendahului kedudukan liga manakala Terengganu Hockey Team masih kekal di tangga kedudukan ke-3 walaupun berjaya mengutip 3 mata liga di laman sendiri. Kredit Foto – Facebook.com/MalaysianHockeyConfederation

KEPUTUSAN LIGA HOKI MALAYSIA 2020
*THT sahaja

05.02.2020 1700 | 033 GROUP | Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu
TERENGGANU HOCKEY TEAM vs TNB THUNDERBOLTS 03-02

JARINGAN GOL
TERENGGANU HOCKEY TEAM

Jang Jong Hyun 15″
Faizal bin Saari 24″
Jang Jong Hyun 55″

TNB THUNDERBOLTS
Muhammad Fahmi bin Khalid 33″
Muhammad Fahmi bin Khalid 42″

KAD HIJAU
THT – Jung Manjae 13″

KAD KUNING
THT – Jung Manjae 22″

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X