LHRM 2019: Skuad Wanita Raih Kemenangan Sulung Di Laman Sendiri

Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kembali ceria setelah skuad hoki wanita MSNT-PHT-MSST meraih kemenangan sulung dalam aksi kedua perlawanan Liga Hoki Remaja Malaysia 2019(Wanita) untuk menewaskan Johor Girl-PHJ MSNJ berkeputusan dua jaringan gol tanpa balasan.

Percaturan corak dan tempo permainan yang amat berbeza berbanding perlawanan pembukaan lalu sememangnya memberi kelebihan untuk penguasaan di atas padang. Sekaligus membina keyakinan pasukan yang baharu dibina rata-rata dibarisi pemain yang masih dibangku sekolah.





Siti Nur Hanisah Noordin(kanan) meraih gol sulung peribadi kejohanan dalam perlawanan kedua Liga Hoki Remaja Malaysia 2019(Wanita) sekaligus membantu MSNT-PHT-MSST untuk menewaskan Johor Girl-PHJ MSNJ berkesudahan 2-0 pada 30 Jun 2019 bertempat di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Gol pertama tuan rumah yang juga kutipan gol sulung peribadi untuk musim ini milik Siti Nur Hanisah Noordin memecah kebuntuan hadir pada minit ke-19 melalui jaringan pukulan sudut penalti. Keghairahan mengasak mencipta serangan menyaksikan Siti Nur Hanisah bt Noordin juga terpaksa akur menerima kad hijau pertama permainan selang dua minit selepas jaringan gol pertama pasukan.

Reaksi kapten MSNT-PHT-MSST Nurul Norma Syafila Mazlan(dua dari kiri) sejurus menambah mata melalui jaringan gol padang untuk mendahului 2-0 perlawanan menentang Johor Girl-PHJ MSNJ sekaligus menjadi kutipan gol terakhir dalam perlawanan kedua Liga Hoki Remaja Malaysia 2019(Wanita) yang telah berlangsung pada 30 Jun 2019 bertempat di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Tempo permainan yang laju dipersembahan oleh anak didik di bawah kendalian bekas kapten pasukan kebangsaan; Mohd Shahrun Nabil Abdullah memaksa pasukan pelawat hanya mampu menguasai bola dalam kubu pertahanan mereka. Penguasaan padang sepenuhnya oleh MSNT-PHT-MSST sekaligus memaksa pasukan pelawat bersilih ganti melakukan pertukaran pemain.

Babak-babak akhir permainan lebih padat dengan serangan demi serangan oleh MSNT-PHT-MSST sehinggakan pasukan tuan rumah menerima layangan kad kuning pertama untuk musim ini yang disimpan kemas oleh Nurnadhirah bt Mohd Sukri. Namun kekecewaan itu terubat apabila kapten pasukan; Nurul Norma Syafila bt Mazlan menambah jaringan melalui gol padang pada minit ke-56 sekaligus menjadi kutipan gol terakhir menutup perlawanan. Kapten pasukan ini juga turut telah menyumbang dua gol pada perlawanan pembukaan lalu sewaktu menentang Mutiara Impian-MSSPP-PSHA.

Aksi pemain MSNT-PHT-MSST Nur Rubiatul Alia Othman(kanan) mengasak ke kubu lawan sewaktu menentang JOHOR GIRL-PHJ MSNJ dalam perlawanan kedua Liga Hoki Remaja Malaysia 2019(Wanita) sekaligus membantu pasukan untuk menewaskan Johor Girl-PHJ MSNJ berkesudahan 2-0 pada 30 Jun 2019 bertempat di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Perlawanan kedua hari ini kita cuma bermain secara taktikal di mana bergerak dalam satu pasukan. Alhamdullilah, semua taktikal hari ini berjalan dengan lancar. Para pemain bermain dengan baik walaupun ada kesilapan berlaku namun kami akan perbaiki untuk perlawanan seterusnya. Cabaran hari ini bukan sukar, tapi kita tidak pernah ambil mudah. Sekuat mana pasukan lawan kami tetap akan memberi cabaran yang terbaik dari kami.”; ujar Mohd Shahrun Nabil Abdullah selaku jurulatih skuad hoki wanita MSNT-PHT-MSST dan juga bekas kapten kebangsaan serta pernah beraksi di Piala Dunia Hoki Rabobank 2014.

Pada perlawanan pembukaan yang lalu, skuad hoki MSNT-PHT-MSST selaku pasukan tuan rumah telah dikecewakan oleh Mutiara Impian-MSSPP-PSHA berkeputusan 3 berbalas 6. Johor Girl-PHJ MSNJ juga turut mencatat kekalahan tanpa sebarang gol dalam perlawanan pembukaan setelah ditewaskan SSP-MSP PKS UNITEN berakhir dengan keputusan 0-4. Pada musim lalu, skuad hoki wanita negeri ini telah terkandas di peringkat kumpulan begitu juga pasukan dari selatan tanah air yang dikenali sebagai Johor Titanium ketika itu.

Skuad hoki wanita MSNT-PHT-MSST meraih kemenangan sulung di laman sendiri pada perlawanan kedua Liga Hoki Remaja Malaysia 2019(Wanita) setelah menewaskan Johor Girl-PHJ MSNJ pada 30 Jun 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Seterusnya MSNT-PHT-MSST dijadualkan untuk bertandang ke Stadium Hoki Kuala Lumpur selaku pasukan pelawat bertemu naib juara musim lalu; KL WIPERS – KLSS pada 5 Julai 2019 nanti.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X